Media mudah
alih merupakan medium canggih yang diguna pakai oleh masyarakat zaman kini bagi
memudahkan aktiviti harian mereka. Segala urusan harian menjadi lebih mudah
dengan kewujudan dan perkembangan yang kian pesat dalam teknologi perhubungan dan
telekomunikasi. Teknologi ini merupakan hasil ciptaan dan revolusi idea yang
dicetuskan bagi memudahkan manusia berhubung tanpa batasan dan menjalankan
urusan harian mereka dengan lebih mudah. Media mudah alih merupakan teknologi
yang dicipta dalam bentuk telefon bimbit, pemain muzik mudah alih, komputer
riba dan tablet. Sebagai contoh, telefon bimbit pintar merupakan teknologi masa
kini yang semakin maju dan mampu dimiliki oleh majoriti masyarakat masa kini. Penciptaan
telefon bimbit telah berjaya mengubah norma masyarakat daripada pelbagai aspek
sama ada secara positif ataupun sebaliknya.
Berdasarkan
pemerhatian, penggunaan media mudah alih telah banyak membantu dan memberi
implikasi terhadap isu politik semasa. Sebagai contoh, khidmat pesanan ringkas
telah digunakan sebagai pemasaran politik secara langsung dan menyasarkan bakal
pengundi dengan khidmat pesanan ringkas. Melalui teknologi ini, parti politik
di negara ini dapat melakukan pemasaran politik dan menarik lebih ramai bakal
pengundi bagi meraih sokongan rakyat untuk menerajui sistem pemerintahan
negara. Segala maklumat disampaikan dengan mudah dan pantas. Implikasi terhadap
politik mengenai penggunaan media mudah alih dapat dilihat sebagai satu bentuk
alternative bagi para penganjur politik yang lebih saksama, bersifat terus,
lebih selamat dan bersifat peribadi berbanding dengan medium pengantara yang
lain.
Walau
bagaimanapun, media mudah alih juga memberi implikasi negatif dengan adanya
penciptaan kamera digital pada kebanyakan telefon bimbit pada masa kini yang
juga merupakan salah satu ciri utama yang dinilai oleh pengguna sebelum membeli
sebuah telefon bimbit. Kamera digital juga telah dikaitkan dalam artikulasi
dunia mobiliti dan politik sebagai medium penyampaian dan penyebaran yang
sangat berkesan. Pengguna akan merakam segala kejadian berkaitan dengan isu
politik yang berlaku di sekitar mereka lalu menyebarkannya secara atas talian.
Seperti yang sedia maklum, setiap individu mempunyai pandangan masing-masing
tentang perihal politik. Bahan yang disebarkan mungkin bakal menyebabkan
percanggahan pendapat yang seterusnya bakal menjurus kea rah permusuhan
politik. Manusia zaman kini lebih cenderung untuk menilai hanya melaui apa yang
dilihat secara langsung dan menyuarakan pandangan tanpa sebarang penyelidikan
yang lebih mendalam tentang sesuatu perkara tersebut. Hal ini menyebabkan
berlakunya salah faham dalam kalangan masyarakat, terutamanya golongan netizen
yang sangat mudah terpengaruh dengan apa
yang disebarkan di media sosial dan terus melakukan spekulasi yang tidak
berasas.
Dengan ini,
media mudah alih telah banyak mengubah norma hidup masyarakat dunia. Antaranya
ialah meningkatkan sifat individualisme yang mungkin menyebabkan seseorang
individu tidak bergaul atau berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling. Perkara
ini mendorong kepada kesukaran untuk berkerjasama dalam sesuatu perkara. Media
mudah alih juga telah mencipta peraturan baru dalam pelbagai aspek seperti
etika, undang-undang, dan peraturan dalam sesuatu perkara, sekali gus mengubah
cara penggunaan bahasa formal kepada terma ringkas semasa berkomunikasi
menggunakan khidmat pesanan ringkas. Oleh itu, media mudah alih telah banyak
membantu dan memberi kesan dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat.
Antara
corak penggunaan media mudah alih yang didapati semakin berubah pada masa kini
adalah didalam konteks perhubungan antara muka (interpersonal communication).
Kita, sebagai khalayak zaman digital ini harus mengakui bahawa kita sudah tidak
memerlukan sangat akan perhubungan yang bersifat berdepan dan secara langsung
kerana kita lebih banyak berhubungan menggunakan media. Laman media sosial
seperti ‘facebook’ sebagai contohnya, telah menjadi panduan kepada kita untuk
berkenal-kenalan dan berkongsi maklumat berasaskan kepada maklumat asas yang
kita dapat perhatikan di laman facebook individu itu. Sedangkan sebelum ini,
kita mengenali keperibadian seseorang melalui tingkahlakunya, gaya pertuturan
dan penampilannya, atau mungkin juga lata belakang pembesaran dan keluarga
mereka. Dari situ kita akan membuat kesimpulan mengenai keperibadian seseorang
dan menaksir tatacaa perhubungan kita dengan mereka. Dengan perubahan corak perhubungan antara
muka pada masa kini, pemerhatian kita terhadap individu tersebut adalah
berdasarkan kepada maklumat yang terdapat di laman facebook mereka. Ramai di
antara kita yang memanggil seseorang yang kita kenali hanya melalui perbualan-perbualan
di laman social sebagai ‘sahabat’ sedang hakikatnya kita tidak pernah bertemu
langsung dengan mereka. Malah sering juga kita terbaca atau terdengar mengenai
pergaduhan yang berlaku secara fizikal berpunca daripada perbalahan di laman
social.
Perubahan corak perhubungan antara muka ini telah
mnghasilkan pelbagai kesan didalam tenunan ikatan kemasyarakatan pada masa
kini. Tidak terbatas kepada kesan baik atau buruk sahaja. Saling perkaitan
diantara perubahan corak itu yang harus kita perhatikan. Menurut Kraut et al.
yang dipetik dari artikel Tyler (2002,p.196) , beliau mendapati bahawa pengguna
internet awalnya sering digambarkan sebagai kurang penglibatan
kemasyarakatannya, lebih sunyi dan tertekan namun setelah tahap penggunaan
internet mereka semakin maju lantaran daripada tempoh penggunaan yang lama,
data membujur yang dikutip mendapati bahawa hanya terdapat sedikit kesan
negatif terhadap kadar keterlibatan dengan masyarakat dan kemaslahatan
psikologi. Seperti proses penyebaan dan pewarisan budaya yang lain, perubahan
corak perhubungan antara muka ini juga berubah-ubah bergantung kepada keadaan
dan perjalanan sesuatu isu atau peristiwa tersebut. Contohnya, Pilihanraya
Umum-12, 2008 yang mana keputusannya memperlihatkan Barisan Nasional (BN) kalah
di lima negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Perak dan Kedah hasil
daripada berkesannya kempen yang menyebelahi pakatan pembangkang di media
social, blog-blog internet dan khidmat SMS berbanding kempen oleh BN yang lebih
menumpukan kepada penggunaan media massa (televisyen, surat khabar dan laman
web rasmi).
Pertempuran sengit melalui media oleh kedua-dua pihak yang
terlibat dalam pilihanraya 2008 ini telah memperlihatkan betapa berpengaruhnya
media mudah alih dalam usaha penyebaran maklumat dan menangkap hati dan minda
masyarakat mengikut keadaan. Sebelum Pilihanraya Umum 2008, penggunaan media
mudah alih sememangnya sudah meluas dikalangan masyarakat Malaysia namun masih
ada keterbatasan capaian dan penggunaan. Penggunaan internet masih belum meluas
kerana peranti yang membolehkan penggunaan internet (komputer dan telefon
pintar) masih lagi mahal dan susah dicari, namun dalam tahun-tahun sekitar
2008, penggunaan telefon bimbit, telefon pintar, computer riba dan perkhidmatan
internet tanpa wayar sudah mula meluas dan mudah dicapai di Malaysia dan dengan
cepat mempengaruhi gaya hidup masyarakat di Malaysia terutamanya golongan muda,
yang sebenarnya adalah penentu keputusan pilihanraya itu, dan kempen
pilihanraya yang sebenarnya pada pilihanraya umum itu adalah melalui media mudah
alih. Kegagalan BN adalah terletak pada kegagalan mereka untuk mengakui bahawa
kunci kemenangan dalam Pilihan Raya Umum 2008 adalah media mudah alih, ini
diakui oleh Perdana Menteri pada waktu itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Muniandy
& Muniandy, 2013).
Pada waktu itu, kelebihan yang ditawarkan oleh media mudah
alih seperti keterbukaanya, kebebasan dan mudah penggunannya telah digunakan
secara optimum oleh pakatan pembangkang kerana mereka adalah diketahui sebagai
tidak langsung memiliki ruang di media massa yang dikuasai oleh kerajaan.
Keterbukaan media mudah alih juga telah membolehkan sebarang maklumat
disampaikan secara penuh, cepat dan tanpa tapisan. Ini membolehkan pengundi
membuat timbang tara dengan lebih telus berbanding pilihanraya umum yang sebelumnya.
Penghantaran maklumat yang cepat juga membolehkan pakatan pembangkang sentiasa
mendahului dalam usaha mereka untuk membritahu rakyat berkenaan dengan sebarang
perkembangan semasa yang berkaitan.
Namun begitu, melalui perang media semasa kempen pilihanraya
itu jugalah, beberapa kekurangan media mudah alih dapat kita perhatikan
terserlah dan membawa bermacam-macam akibat kepada perkembangan masyarakat
sesudah pilihanraya itu. Keterbukaan media mudah alih tidak menghalang
penyebaran maklumat untuk sebarang niat, baik atau buruk. Ianya adalah bebas. Langkah
pihak berkuasa yang ingin mengawal niat tidak baik ini yang biasanya akan
memberi ruang kepada para pembuat polisi untuk menyekat kebebasan media.
Limpahan maklumat yang banyak dan meluas didalam media mudah alih ini juga
telah mengakibatkan krisis keutuhan dan mutu, yang dimiliki oleh
maklumat-maklumat yang dimasukkan kedalam dunia sesawang dan ini boleh
mengakibatkan kecelaruan pertimbangan dikalangan para pengguna dan masyarakat
secara keseluruhannya
Rujukan
Muniandy, L., & Muniandy, B. (2013).
The Impact of Social Media in Social and Political Aspects in Malaysia: An
Overview International Journal of
Humanities and Social Science Vol.
3,(11). 71-76
Tyler,T. R. (2002) Is the internet
changing social life?it seems the more thing change, the more they stay the
same.journal of social issues .58
(1).pp. 195-205.