Saturday 16 April 2016

Mobile Media and everyday life

                Media mudah alih merupakan medium canggih yang diguna pakai oleh masyarakat zaman kini bagi memudahkan aktiviti harian mereka. Segala urusan harian menjadi lebih mudah dengan kewujudan dan perkembangan yang kian pesat dalam teknologi perhubungan dan telekomunikasi. Teknologi ini merupakan hasil ciptaan dan revolusi idea yang dicetuskan bagi memudahkan manusia berhubung tanpa batasan dan menjalankan urusan harian mereka dengan lebih mudah. Media mudah alih merupakan teknologi yang dicipta dalam bentuk telefon bimbit, pemain muzik mudah alih, komputer riba dan tablet. Sebagai contoh, telefon bimbit pintar merupakan teknologi masa kini yang semakin maju dan mampu dimiliki oleh majoriti masyarakat masa kini. Penciptaan telefon bimbit telah berjaya mengubah norma masyarakat daripada pelbagai aspek sama ada secara positif ataupun sebaliknya.
        Berdasarkan pemerhatian, penggunaan media mudah alih telah banyak membantu dan memberi implikasi terhadap isu politik semasa. Sebagai contoh, khidmat pesanan ringkas telah digunakan sebagai pemasaran politik secara langsung dan menyasarkan bakal pengundi dengan khidmat pesanan ringkas. Melalui teknologi ini, parti politik di negara ini dapat melakukan pemasaran politik dan menarik lebih ramai bakal pengundi bagi meraih sokongan rakyat untuk menerajui sistem pemerintahan negara. Segala maklumat disampaikan dengan mudah dan pantas. Implikasi terhadap politik mengenai penggunaan media mudah alih dapat dilihat sebagai satu bentuk alternative bagi para penganjur politik yang lebih saksama, bersifat terus, lebih selamat dan bersifat peribadi berbanding dengan medium pengantara yang lain.
       Walau bagaimanapun, media mudah alih juga memberi implikasi negatif dengan adanya penciptaan kamera digital pada kebanyakan telefon bimbit pada masa kini yang juga merupakan salah satu ciri utama yang dinilai oleh pengguna sebelum membeli sebuah telefon bimbit. Kamera digital juga telah dikaitkan dalam artikulasi dunia mobiliti dan politik sebagai medium penyampaian dan penyebaran yang sangat berkesan. Pengguna akan merakam segala kejadian berkaitan dengan isu politik yang berlaku di sekitar mereka lalu menyebarkannya secara atas talian. Seperti yang sedia maklum, setiap individu mempunyai pandangan masing-masing tentang perihal politik. Bahan yang disebarkan mungkin bakal menyebabkan percanggahan pendapat yang seterusnya bakal menjurus kea rah permusuhan politik. Manusia zaman kini lebih cenderung untuk menilai hanya melaui apa yang dilihat secara langsung dan menyuarakan pandangan tanpa sebarang penyelidikan yang lebih mendalam tentang sesuatu perkara tersebut. Hal ini menyebabkan berlakunya salah faham dalam kalangan masyarakat, terutamanya golongan netizen yang sangat mudah  terpengaruh dengan apa yang disebarkan di media sosial dan terus melakukan spekulasi yang tidak berasas.
       Dengan ini, media mudah alih telah banyak mengubah norma hidup masyarakat dunia. Antaranya ialah meningkatkan sifat individualisme yang mungkin menyebabkan seseorang individu tidak bergaul atau berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling. Perkara ini mendorong kepada kesukaran untuk berkerjasama dalam sesuatu perkara. Media mudah alih juga telah mencipta peraturan baru dalam pelbagai aspek seperti etika, undang-undang, dan peraturan dalam sesuatu perkara, sekali gus mengubah cara penggunaan bahasa formal kepada terma ringkas semasa berkomunikasi menggunakan khidmat pesanan ringkas. Oleh itu, media mudah alih telah banyak membantu dan memberi kesan dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat.  
            Antara corak penggunaan media mudah alih yang didapati semakin berubah pada masa kini adalah didalam konteks perhubungan antara muka (interpersonal communication). Kita, sebagai khalayak zaman digital ini harus mengakui bahawa kita sudah tidak memerlukan sangat akan perhubungan yang bersifat berdepan dan secara langsung kerana kita lebih banyak berhubungan menggunakan media. Laman media sosial seperti ‘facebook’ sebagai contohnya, telah menjadi panduan kepada kita untuk berkenal-kenalan dan berkongsi maklumat berasaskan kepada maklumat asas yang kita dapat perhatikan di laman facebook individu itu. Sedangkan sebelum ini, kita mengenali keperibadian seseorang melalui tingkahlakunya, gaya pertuturan dan penampilannya, atau mungkin juga lata belakang pembesaran dan keluarga mereka. Dari situ kita akan membuat kesimpulan mengenai keperibadian seseorang dan menaksir tatacaa perhubungan kita dengan mereka.  Dengan perubahan corak perhubungan antara muka pada masa kini, pemerhatian kita terhadap individu tersebut adalah berdasarkan kepada maklumat yang terdapat di laman facebook mereka. Ramai di antara kita yang memanggil seseorang yang kita kenali hanya melalui perbualan-perbualan di laman social sebagai ‘sahabat’ sedang hakikatnya kita tidak pernah bertemu langsung dengan mereka. Malah sering juga kita terbaca atau terdengar mengenai pergaduhan yang berlaku secara fizikal berpunca daripada perbalahan di laman social.
Perubahan corak perhubungan antara muka ini telah mnghasilkan pelbagai kesan didalam tenunan ikatan kemasyarakatan pada masa kini. Tidak terbatas kepada kesan baik atau buruk sahaja. Saling perkaitan diantara perubahan corak itu yang harus kita perhatikan. Menurut Kraut et al. yang dipetik dari artikel Tyler (2002,p.196) , beliau mendapati bahawa pengguna internet awalnya sering digambarkan sebagai kurang penglibatan kemasyarakatannya, lebih sunyi dan tertekan namun setelah tahap penggunaan internet mereka semakin maju lantaran daripada tempoh penggunaan yang lama, data membujur yang dikutip mendapati bahawa hanya terdapat sedikit kesan negatif terhadap kadar keterlibatan dengan masyarakat dan kemaslahatan psikologi. Seperti proses penyebaan dan pewarisan budaya yang lain, perubahan corak perhubungan antara muka ini juga berubah-ubah bergantung kepada keadaan dan perjalanan sesuatu isu atau peristiwa tersebut. Contohnya, Pilihanraya Umum-12, 2008 yang mana keputusannya memperlihatkan Barisan Nasional (BN) kalah di lima negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Perak dan Kedah hasil daripada berkesannya kempen yang menyebelahi pakatan pembangkang di media social, blog-blog internet dan khidmat SMS berbanding kempen oleh BN yang lebih menumpukan kepada penggunaan media massa (televisyen, surat khabar dan laman web rasmi).
Pertempuran sengit melalui media oleh kedua-dua pihak yang terlibat dalam pilihanraya 2008 ini telah memperlihatkan betapa berpengaruhnya media mudah alih dalam usaha penyebaran maklumat dan menangkap hati dan minda masyarakat mengikut keadaan. Sebelum Pilihanraya Umum 2008, penggunaan media mudah alih sememangnya sudah meluas dikalangan masyarakat Malaysia namun masih ada keterbatasan capaian dan penggunaan. Penggunaan internet masih belum meluas kerana peranti yang membolehkan penggunaan internet (komputer dan telefon pintar) masih lagi mahal dan susah dicari, namun dalam tahun-tahun sekitar 2008, penggunaan telefon bimbit, telefon pintar, computer riba dan perkhidmatan internet tanpa wayar sudah mula meluas dan mudah dicapai di Malaysia dan dengan cepat mempengaruhi gaya hidup masyarakat di Malaysia terutamanya golongan muda, yang sebenarnya adalah penentu keputusan pilihanraya itu, dan kempen pilihanraya yang sebenarnya pada pilihanraya umum itu adalah melalui media mudah alih. Kegagalan BN adalah terletak pada kegagalan mereka untuk mengakui bahawa kunci kemenangan dalam Pilihan Raya Umum 2008 adalah media mudah alih, ini diakui oleh Perdana Menteri pada waktu itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Muniandy & Muniandy, 2013).
Pada waktu itu, kelebihan yang ditawarkan oleh media mudah alih seperti keterbukaanya, kebebasan dan mudah penggunannya telah digunakan secara optimum oleh pakatan pembangkang kerana mereka adalah diketahui sebagai tidak langsung memiliki ruang di media massa yang dikuasai oleh kerajaan. Keterbukaan media mudah alih juga telah membolehkan sebarang maklumat disampaikan secara penuh, cepat dan tanpa tapisan. Ini membolehkan pengundi membuat timbang tara dengan lebih telus berbanding pilihanraya umum yang sebelumnya. Penghantaran maklumat yang cepat juga membolehkan pakatan pembangkang sentiasa mendahului dalam usaha mereka untuk membritahu rakyat berkenaan dengan sebarang perkembangan semasa yang berkaitan.
Namun begitu, melalui perang media semasa kempen pilihanraya itu jugalah, beberapa kekurangan media mudah alih dapat kita perhatikan terserlah dan membawa bermacam-macam akibat kepada perkembangan masyarakat sesudah pilihanraya itu. Keterbukaan media mudah alih tidak menghalang penyebaran maklumat untuk sebarang niat, baik atau buruk. Ianya adalah bebas. Langkah pihak berkuasa yang ingin mengawal niat tidak baik ini yang biasanya akan memberi ruang kepada para pembuat polisi untuk menyekat kebebasan media. Limpahan maklumat yang banyak dan meluas didalam media mudah alih ini juga telah mengakibatkan krisis keutuhan dan mutu, yang dimiliki oleh maklumat-maklumat yang dimasukkan kedalam dunia sesawang dan ini boleh mengakibatkan kecelaruan pertimbangan dikalangan para pengguna dan masyarakat secara keseluruhannya







Rujukan 
Muniandy, L., & Muniandy, B. (2013). The Impact of Social Media in Social and Political Aspects in Malaysia: An Overview International Journal of Humanities and Social Science Vol. 3,(11). 71-76

Tyler,T. R. (2002) Is the internet changing social life?it seems the more thing change, the more they stay the same.journal of social issues .58 (1).pp.  195-205.

1 comment: